Kehidupan Mengingati Kematian
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t
Tidak adil jika kita berbicara soal kehidupan yang nyata, sedangkan ada kehidupan yang pasti di hadapan kelak.
Bukanlah aku yang mahir berbicara soal itu, tetapi sebagai seseorang yang memiliki nafas pinjaman ini tidak terasa asing untuk menyatakan tentangnya.
Berpanjangannya hidup, pasti ada pengakhiran di hujungnya.. dan ianya adalah sebuah kematian. Allah s.w.t itu maha Hebat dan Baik. Subhanallah.
Beberapa bulan yang lalu, aku merasakan seolah-olah diri ini telah menerima satu teguran yang sangat menyakinkan bagi diri ini. Sejujurnya ia amat berkait dengan keinginan hati yang bagi aku, sebagai manusia yang normal, yang memiliki hati dan perasaan, amat wajarlah untuk memiliki pemikiran sedemikian. Sejak sebelum kejadian 'teguran' itu, aku banyak mempersoalkan tentang jodoh.
Aku banyak memikirkan tentangnya, bersoal jawab tentang itu ini, seolah-olah aku menafikan kerja tuhan. Kita sedia maklum, sesungguhnya soal jodoh, rezeki, hidup mati seseorang manusia ini selagi dia bernafas di muka bumi ini, semuanya mengikut aturan Allah swt. Tetapi barangkali, aku terlalu berlebihan soal ini, sehinggakan aku terlalu memaksa agar ianya mengikut percaturan aku. Astaghfirullah al-adziim.
Sehinggalah pada suatu hari, dikala aku sedang sibuk melihat paparan skrin telefon yang menunjukan 'facebook postings', sedang aku ralit scroll posting di Facebook, mata aku tajam tertumpu pada sebuah posting yang tertulis;
"Telah pergi menghadap Ilahi adinda kami yang tercinta, (di tag nama tersebut) ...." dan nama yang di tag tersebut amat mengejutkan aku, buat seketika pandangan aku jadi kosong, tangan aku yang memegang kemas telefon menjadi serba kaku, fikiran aku terbayang raut wajah orang tersebut. Perlahan-lahan aku menatap gambar yang dilampirkan dibawah posting tersebut.
Ya, aku kenal nama yang di tag tersebut, tersangat kenal. Tetapi yang menjadi tanda tanya, wajahnya amat berbeza. Pucat dan sugul. "Dia sakitkah?" Allahu Akhbar. Sekali lagi, aku masih terdiam kaku. Satu berita yang amat tidak disangkakan. Almarhummah adalah seorang teman yang baik sewaktu aku di Matrikulasi. Kami berada di satu kelas yang sama, satu kuliah, bahkan seumuran yang sama. Adakah ini teguran halus dari Allah s.w.t?
Dikala aku sibuk memikirkan hal duniawi, aku lupa akan kenyataan yang sebenar, bahawa dunia ini adalah sementara, akhirat kelak adalah yang sebenarnya. Kematian itu adalah pasti. Allahu Akhbar. Aku tersentap. Hati ini bagai direntap, tubuh ini bagai dihiris, aku jadi takut dan gementar. Aku terlalu bersuka ria soal jodoh di dunia sedangkan apakah mungkin jodoh didunia ini yang dahulu menyapa aku atau kematian yang menjemput dulu? Boleh jadi, aku mungkin tak berjodoh dengan manusia, tetapi aku pasti berjodoh dengan kematian.
Bagi aku, almarhummah sangat beruntung, kerana dia masih mempunyai waktu untuk bertaubat dan juga memperbanyakkan ibadah sebelum meninggal dunia. Bahkan mungkin, dikala ajalnya menjemput, arwah mungkin dapat pergi dalam khusnol khatimah. Itulah sebaik-baik keinginan pengakhiran yang kita mahukan kelak apabila sudah tiba ajal kita. Apabila Allah s.w.t datangkan kepada kita satu penyakit ini, ianya hadir untuk mengajar serta mendidik kita untuk lebih ikhlas, sabar dan istiqomah dalam mendekatkan diri kepada-Nya. Subhanallah, Masha-Allah. Maka, cubalah untuk bersyukur dan menjadi lebih positif. Aku tahu, ianya tidak mudah. Tetapi seandainya kita yakin akan kebesaran dan janji Allah s.w.t, kita akan jadi mudah menghadapinya. In shaa Allah.
Sungguh, pemergian arwah buat aku berfikir dan terdiam selama seminggu, seolah-olah aku masih belum dapat menerima pemergian arwah. Sedikit demi sedikat lembaran memori aku dengan dia tersingkap walaupun tidak banyak, tetapi ianya kenangan yang baik. Sungguh tiada dosa antara aku dan dia. Aku redha.
Sebagai seorang manusia, hamba Allah s.w.t, tidak usah terlalu berfikir tentang kerja Allah s.w.t. Tidak perlu terlalu sibuk mempersoalkan kerja Allah s.w.t. Berpada-padalah agar tidak melangkaui batas sebagai seorang manusia. Hidup kita adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah Azza wa Jalla, maka janganlah membuat kerja Allah s.w.t, tetapi laksanakanlah kerja Rasulullah s.a.w.
Semoga yang berlaku ini, membawa hikmah kepada diri ini. Alhamdulillah a'la kulli haal, atas teguran ini.
Semoga syurga tertinggi buat dirimu. Semoga rohmu dilimpahi rahmah Allah s.w.t dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
."
Aamiin ya rabbal a'lamiin.
Comments
Post a Comment