Beautiful lies in Modesty

Bismillahirrahmanirrahim.


Assalamualaikum wbt.

"Seorang wanita muslim menggunakan bibirnya untuk bercakap benar, suaranya untuk kebaikan, telinga untuk belas kasihan, tangannya untuk amal dan hatinya untuk menyebarkan cinta dan kedamaian."

Seorang muslimah yang tulen tidak akan semudah-mudahnya menurunkan martabat diri demi mencapai kepuasan hati dan dunia. Mereka yang sentiasa bersifat malu dan tahu akan batas kehidupan seorang muslimah dalam hidup bermasyarakat, apatah lagi dalam dunia yang serba moden dan canggih ini, sebagai seorang muslimah yang produktif sudah semestinya akan bergerak dalam satu kelompok yang bercampur antara lelaki dan perempuan sebagai contoh atas komitmen pekerjaan mahupun tuntutan fardu kifayah yang lain.

Setiap anggota badan yang diciptakan oleh Allah swt dan diberikan pinjaman sementara untuk kita adalah bertujuan untuk kita terus menerus melakukan ibadah kepada-Nya. Bermula dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki, setiapnya darinya tidak akan terlepas daripada memiliki fungsinya yang tersendiri.

💕 Pertama.

Setiap perkataan yang dilafazkan di bibir seharusnya menjadi ucapan yang amat menyenangkan orang di sekeliling seperti memberikan nasihat, berzikir, membaca Al-Quran bahkan suara yang dilontarkan adalah untuk sentiasa menyatakan kebenaran dan memberikan kebaikan serta sokongan kepada hak yang teraniaya, selain menjadikan suara dan mulut sebagai satu fitnah yang berat dengan menjadikan fungsinya untuk berbicara perkara-perkara dusta, sumpah seranah, mencarut, mengumpat, mengadu domba dan sebagainya.
Dimana letaknya kesopanan seorang Muslimah, jika kita jadikan fungsi yang tidak baik ini sebagai makanan harian kita?

💕 Kedua.

Telinga dan tangan. Sepasang telinga selain dijadikan sebagai fungsi untuk mendengar, kita boleh melatih telinga itu untuk mendengar perkara yang baik serta menjadi teman setia kepada sahabat-sahabat yang memerlukan. Menjadi seorang pendengar yang setia bukan sahaja dapat meringankan kekusutan serta beban di hati, tetapi dapat juga mengeratkan ukhuwwah yang terjalin antara sahabat perempuan.
Manakala, tangan untuk melakukan amal jariah seperti bersedekah, memimpin tangan mereka yang memerlukan, mengangkat serta mengalihkan barang yang boleh membawa kemudaratan kepada orang lain.
Tidak susah untuk kita melakukan kebaikan dan memberikan kesenangan kepada orang di sekeliling kita. Walaubagaimanapun, janganlah kita mengambil kesempatan darinya, untuk menghalalkan segala cara yang dilakukan seperti berdua-duan dengan seorang lelaki atas alasan menyiapkan sesuatu pekerjaan atau tugas dan melakukan perkara yang boleh menimbulkan fitnah. 

💕 Ketiga.

Hati untuk menyebarkan cinta dan kedamaian. Hati yang bersih sering bersangkut paut dengan keikhlasan. Mereka yang sentiasa berniat baik akan sentiasa memikirkan kebaikan untuk seseorang. Mereka ini adalah insan yang sentiasa mencintai kedamaian dan akan berusaha untuk menyebarkan cinta kebaikan kepada orang sekeliling tanpa mengira kaum atau agama, kerana Islam adalah satu agama yang sentiasa membawa kedamaian dan memberikan cinta yang sebenar kepada pencinta-Nya sehingga akhir zaman. Subhanallah.

Dari ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

“Yang disebut dengan muslim sejati adalah orang yang selamat orang muslim lainnya dari lisan dan tangannya. Dan orang yang berhijrah adalah orang yang berhijrah dari perkara yang dilarang oleh Allah .” (HR. Bukhari no. 10 dan Muslim no. 40 )

Oleh itu, Jadilah seorang Muslimah seperti Saiyiditana Khadijah, Saiyiditina Aisyah, Fatimah AzZahra, Sumaiyyah, Asiah Isteri Firaun, Rabiatul Adawiyah dan Maryam Ibu Nabi Isa as.

Contohilah mereka kerana mereka inilah yang sentiasa berpegang teguh dan bertaqwa kepada Allah yang Maha Esa serta muslimah ini tidak pernah gentar akan dugaan dan ancaman yang melanda. 
Sungguh hebat dan kuatnya hati mereka di sebalik kesopanan dan kelembutan seorang Muslimah. 
Mungkin kita tidak akan mampu untuk menjadi 100% seperti mereka, tetapi setiap usaha yang dilakukan itu pasti akan membawa hikmah yang tersirat.

In shaa Allah.

#hiddensmile

Comments

Popular posts from this blog