Mohon Maaf dan Memaafkan.

Bismillahirrahmanirrahim.



Assalamualaikum wbt.

“Iman yang paling utama adalah sabar dan memaafkan.” (Hadis riwayat Bukhari). 

Menjadi seorang manusia, kita sudah semestinya akan berhadapan dengan pelbagai sikap dan ragam sesetengah manusia itu. Tambahan pula, tidak semua manusia yang dapat menyenangkan hati kita, dan kadang kala ada juga insan yang suka menambahkan lagi minyak di dalam api yang membara. 
Kerana, menjadi seorang manusia adalah tetap tidak sempurna walaupun cukup sifatnya. Walaupun begitu, sebolehnya kita akan cuba mengelak perkara demikian dengan menjaga adab, berkata dengan perkataan yang baik dan jika mahu menegur pun, biarlah pada waktu yang sesuai. 

Namun bagaimana jika terjadi juga salah faham? 
Jika begitu, kita mulakan dengan menghulurkan kata maaf. Memang tidah mudah untuk mengatakan maaf kerana manusia ini ada egonya tersendiri kerana baginya dengan meminta maaf, ianya akan menjatuhkan air muka dan mengisytiharkan tanda kekalahan.
Tetapi, tahukah kita bahawa dengan meminta maaf adalah satu sifat yang sangat berani? Hidup adalah seketika sahaja. Jadi, tiada gunanya untuk kita bergaduh lama-lama. Ikhlaskan meminta maaf dan beri masa pada orang untuk memaafkan kita. 


“Mahukah aku ceritakan kepadamu mengenai sesuatu yang membuat Allah memuliakan kedudukan dan meninggikan darjatmu? Para sahabat menjawab; tentu. Rasul pun bersabda; Kamu harus bersikap sabar kepada orang yang membencimu, kemudian memaafkan orang yang berbuat zalim kepadamu, memberi kepada orang yang memusuhimu dan juga menghubungi orang yang telah memutuskan silaturahim denganmu.” (Hadis riwayat al-Thabrani) 

Memaafkan adalah sifat orang yang kuat. Sesekali ubahlah sudut pandang kita, jika berada di tempat orang lain kerana hakikatnya kita juga mahu dimaafkan.
Kerana itulah adalah amat penting untuk kita menjaga hati orang lain. Itu adalah tanggungjawab.
Namun kita tidak akan dapat lari daripada kesilapan. Kita perlu akui hakikat itu. Jangan menunda untuk momohon maaf kerana hal-hal esok tidak dapat dijangka.

Cara terbaik adalah bercakap secara berdepan serta akuilah kesalahan kita. Tidak rugipun jika kita berdepan dengan kebenaran. Kelebihan orang yang memaafkan orang lain ini adalah mendapat kecintaan dan keampunan daripada Allah serta mendapat pembelaan daripada-Nya.

Siapa tahu dengan memaafkan seseorang akan membuka pintu rahmat yang lebih besar untuk kita dan orang di sekeliling kita kelak. In shaa Allah. 

Sesungguhnya sesuatu nikmat itu selalu datang melalui jalan yang tidak disangka-sangka.

"Dan bersegeralah kamu mencari ampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Ali-Imran: ayat 133-134) 

Sesungguhnya, Islam jua adalah agama kasih sayang. Jadi mulakan hari ini dengan memohon maaf jika rasa ada kesilapan dan belajarlah memaafkan. Apa yang penting kita berusaha memperbaiki ukhwah tersebut dan mahu cuba perbaiki kesilapan diri untuk tidak lagi mengulanginya. 

Jika kita rasa tidak terdaya, teruskanlah berdoa kepada Allah swt, sungguh Allah swt sentiasa bersama dengan orang yang sabar. In shaa Allah.

#hiddensmile  

Comments