Jemputan Terindah [Part I]
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamulaikum wbt.
Di awal permulaan tahun 2023, bagiku adalah permulaan yang sangat terindah.
Alhamdulillah Tabarakallah, rezeki yang tidak pernah terfikir atau terlintas di fikiran, Allah s.w.t hadirkan dan titipkan buat diriku. Rezeki diri ini dijemput menjadi salah seorang tetamu Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w di Kota Mekah dan Kota Madinah. Ma Shaa Allah.
Siapa sangka impian yang diukir setelah sekian lama, impian yang sering disebut dalam doa mahupun ucapan harian, Allah s.w.t makbulkan pada tahun ini, saat ini. Walaupun beberapa bulan sebelum ingin melangkah sebagai tetamu-Nya, diri ini sudah cukup diuji dengan ujian yang berat untuk dipertimbangkan, bahkan amat sulit untuk dikorbankan. Bahkan aku cukup sedar, ujian ini mungkin mengajar aku sesuatu perkara.
'Flashback momen ketika diri ini diuji';
Ibu Ayah mengajak kakak sulungku untuk pergi bersama-sama mengerjakan ibadah Umrah, dan perancangan ini telah dilakukan pada tahun 2022. Aku hanya mendengar, kerana aku sedar pada tarikh yang ditetapkan untuk mengerjakan Umrah tersebut adalah tarikh yang tidak sesuai untuk aku turut serta sekali, kerana bulan tersebut berkemungkinan akan jatuhnya tarikh peperiksaan akhir semester 1 aku. Jadi aku hanya mampu tersenyum, walaupun Ibu turut mengajak aku dan aku terus menolak ajakan tersebut dengan baik. Dalam hati ini, aku merintih; "Ya Allah, aku nak pergi juga. Nak pergi dengan Ibu Ayah juga, sebab ini impian aku juga. Bila agaknya aku dapat pergi dengan Ibu Ayah ya?". Tetapi aku tidak memaksa, hati ini sudah cukup redha saat itu. Aku senyum dan meneruskan kehidupan belajar aku seperti biasa. Pergi class, masuk class, belajar.. habis class, balik. Haa gitu~~
Selang 2 bulan lebih sebelum tarikh Umrah, aku terima call dari kakakku, sambil menangis dia berkata yang dia tidak dapat pergi mengerjakan Umrah, katanya bos tak luluskan permohonan cuti dia. Allahu, terasa satu rentapan saat itu, perasaan kasihan dan bermacam cara aku berikan pada dia untuk pujuk bos dia semula, tapi tidak berjaya. Bahkan, dia pula yang pujuk aku untuk menggantikan tempat dia. Aku menolak keras sambil risau sebab jadual exam aku tak keluar lagi, dan macam mana sekiranya clash dengan jadual exam aku nanti. Tetapi dalam masa yang sama, hati ini turut memikirkan keadaan ibu nanti di sana, siapa yang akan menemani Ibu, yang akan memimpin tangan dia untuk masuk ke masjid?
Aku tahu, keadaan ibu tak cukup kuat untuk berjalan sendiri bahkan untuk berdiri lama ketika solat pun sudah tidak mampu. Adik perempuan aku pun tidak dapat menjadi ganti sebab dia pun sudah clash dengan jadual exam. Takkan nak mengharap ibu saudara yang sama-sama uzur juga? Disini, kita bercakap soal mahram, sebab ada Ayah aku juga. Memandangkan akan duduk satu bilik hotel yang sama. Jadi, jika bukan aku, siapa lagi yang boleh? Fikiran sangat buntu, aku perlu buat keputusan secepat mungkin, memandangkan nama perlu dihantar untuk urusan visa dan masa amat mencemburui ketika itu.
Dalam tempoh tersebut, aku berulang alik dari Penang ke Beranang, untuk uruskan hal passport dan sebagainya. Hati ini masih meragui, dan keputusan masih berbolak balik. Aku berharap ketua jabatan unit postgraduate dapat berikan aku pengecualiaan sekiranya ada exam paper aku clash dengan tarikh Umrah, tetapi rayuan aku ditolak mentah-mentah tanpa ada sebarang rundingan. Pilihan yang aku ada; jika ada clash, extend semester dan risiko atas diri sendiri. Tidak mungkin aku mahu extend, sedangkan aku berada dalam tajaan. Hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu perasaan aku saat itu. Aku kecewa dan aku maklumkan hal ini pada Ibu Ayah.
to be continued...
Comments
Post a Comment